Skip to main content

Latar Belakang

Latar Belakang

LATAR BELAKANG AIGA

Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) merupakan satu anugerah yang memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan dan pengamalan integriti dan tadbir urus terbaik serta inisiatif antirasuah dalam organisasi mereka.

AIGA juga merupakan salah satu mekanisme penanda aras (benchmark) bagi organisasi awam mahupun swasta dalam membudayakan integriti, tadbir urus terbaik dan antirasuah terutamanya dalam  organisasi mereka. Selain itu ianya juga merupakan ruang mencungkil keupayaan, kemampuan, komitmen dan kesungguhan sektor swasta dan awam dalam usaha pelaksanaan sistem kawalan dalaman pengurusan integriti  dan pencegahan rasuah.

AIGA buat pertama kalinya telah diadakan pada tahun 2020. Pada tahun tersebut Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengadakan AIGA dengan kerjasama Yayasan Pahang (YP) dan diadakan di peringkat negeri Pahang sahaja. Penganjuran AIGA di peringkat negeri Pahang telah meraih penyertaan sebanyak empat puluh satu (41) organisasi kerajaan dan swasta di seluruh negeri Pahang.

Sewaktu menyempurnakan AIGA 2020, Ketua Setiausaha Negara telah menyuarakan hasrat untuk mengangkat Anugerah ini ke peringkat Kebangsaan. Penganjuran AIGA telah dilaksanakan di peringkat Kebangsaan pada tahun 2022, susulan daripada kejayaan penganjuran projek rintis AIGA 2020 peringkat negeri Pahang. BERNAS telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Platinum.

Pada tahun 2023, Sime Darby Plantation Berhad telah merangkul Anugerah Platinum menerusi inisiatif Hari Integriti di 27 lokasi global, serta sistem pelaporan "Suara Kami." AIGA 2023 menyaksikan pengenalan Anugerah Khas OSH Berintegriti Terbaik dan Penghargaan Khas Integriti kepada Kerajaan Sarawak atas usaha membudayakan integriti

 

Proses Penilaian AIGA 2025 terbahagi kepada 5 bahagian utama sebelum ke Majlis Penganugerahan.

 

i. Penilaian Kendiri dan Pendaftaran

ii.Penilaian Pengesahan Dokumen (Off-Site) 

iii.Penilaian Pelaksanaan (Online)

iv.Penilaian Lapangan (Fizikal)

v.Penilaian Panel Khas

vi.Majlis Penganugerahan AIGA 2025

 

i. Penilaian Kendiri dan Pendaftaran
Dalam proses ini, organisasi perlu mengisi dan melengkapkan borang pendaftaran secara atas talian melalui portal rasmi AIGA 2025. Borang ini merangkumi maklumat organisasi, penyediaan dokumen sokongan, dan perincian kriteria yang berkaitan dengan kategori yang disertai. Penyertaan hanya akan diproses sekiranya semua maklumat lengkap dan bayaran pendaftaran telah dibuat. Kegagalan melengkapkan mana-mana bahagian akan menyebabkan penyertaan tidak layak untuk ke peringkat seterusnya.

ii. Penilaian Pengesahan Dokumen (Off-Site)
Setelah pendaftaran diterima, sekretariat AIGA 2025 akan menjalankan semakan dokumen secara menyeluruh. Dokumen-dokumen yang dihantar akan diperiksa untuk memastikan ketepatan, kesahihan, dan pematuhan terhadap kriteria yang telah ditetapkan. Hanya penyertaan dengan dokumen yang lengkap dan mematuhi syarat akan layak untuk ke peringkat penilaian seterusnya.

iii. Penilaian Pelaksanaan (Online)
Pada peringkat ini, panel penilai yang dilantik akan menilai penyertaan berdasarkan skema pemarkahan yang telah ditetapkan. Penilaian ini dilakukan secara atas talian menggunakan sistem pemarkahan standard yang memastikan setiap penyertaan dinilai secara adil, telus, dan objektif. Penekanan diberikan kepada elemen-elemen utama yang mencerminkan kepatuhan organisasi kepada piawaian dan objektif AIGA 2025.

iv. Penilaian Lapangan (Fizikal)
10 Penyertaan daripada setiap kategori iaitu Sektor Awam dan Swasta yang berjaya dalam penilaian pelaksanaan akan melalui penilaian lapangan, di mana pasukan penilai akan melawat lokasi organisasi. Lawatan ini bertujuan untuk mengesahkan pelaksanaan amalan yang dilaporkan dalam dokumen, menilai bukti sokongan secara langsung, dan mendapatkan pandangan mendalam mengenai operasi organisasi. Penilaian ini dilakukan untuk memastikan kesahihan maklumat yang dikemukakan.

v. Penilaian Panel Khas
Peringkat ini melibatkan semakan dan pengesahan lanjut oleh panel khas yang terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang berkaitan. Panel ini akan menilai laporan akhir daripada penilaian terdahulu dan memberikan pandangan tambahan untuk memastikan integriti proses penilaian. Keputusan akhir akan dibuat berdasarkan konsensus panel.

vi. Majlis Penganugerahan AIGA 2025 

Majlis Penganugerahan AIGA 2025 merupakan kemuncak kepada keseluruhan proses penilaian, di mana organisasi yang berjaya akan diraikan dan menerima pengiktirafan atas pencapaian mereka. Acara ini akan diadakan dalam suasana yang berprestij dengan kehadiran tetamu kehormat, wakil-wakil organisasi, media, serta tokoh-tokoh terkemuka.

Anugerah akan disampaikan kepada organisasi terbaik dalam kategori Sektor Awam dan Swasta berdasarkan penilaian menyeluruh. Selain itu, majlis ini juga bertujuan untuk menggalakkan perkongsian amalan terbaik dan memberikan inspirasi kepada organisasi lain dalam usaha meningkatkan integriti dan tadbir urus mereka.

Pengiktirafan yang diterima dalam majlis ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan organisasi, tetapi juga memperkukuhkan reputasi mereka sebagai peneraju integriti di peringkat nasional.

 

Hak Cipta Terpelihara © 2024, Institut Integriti Malaysia