KUALA LUMPUR: Penganjuran Anugerah Intergriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) tepat pada masanya ketika Kerajaan Perpaduan sedang memberi fokus usaha meningkatkan integriti dan tata kelola baik serta menghapuskan rasuah di negara ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, AIGA boleh menjadi pencetus dan penanda aras kepada semangat baharu tahap integriti dan tata kelola di negara ini.
"Sudah tiba masanya anggota perkhidmatan awam, pihak industri dan masyarakat seluruhnya menukarkan pendekatan tata laksanakan pengurusan masing-masing agar selaras dengan budaya tata kelola baik yang ingin ditekankan oleh kerajaan iaitu berpaksikan akauntabiliti, ketelusan dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Intergriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 di Institut Integriti Malaysia (IIM) pada Rabu.
Hadir sama dalam majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Tambah Fadillah lagi, penganjuran AIGA boleh dijadikan program tahunan utama dalam pemantapan integriti dan tata kelola di negara ini.
"Saya amat berharap AIGA dapat menjadi pencetus dan penanda aras kepada semangat baharu negara dalam meningkatkan tahap integriti, tata kelola dan antirasuah bagi sektor awam dan juga pengurusan sektor swasta.
"Oleh yang demikian saya menyarankan agar AIGA yang dilaksanakan oleh IIM ini dapat dijadikan sebagai salah satu program flagship tahunan terutama dalam konteks pemantapan integriti dan tata kelola baik negara," jelasnya lagi.
Tambah Fadillah, kerajaan sentiasa memberi komitmen terhadap agenda pemantapan integriti dan tata kelola baik menerusi peranan IIM.
"Tata kelola pemerintahan negara kita juga hendaklah memaksimumkan pengamalan integriti dalam proses membuat keputusan serta bertindak balas secara aktif kepada keperluan rakyat setiap masa. Inilah teras perkhidmatan Kerajaan Perpaduan," katanya.
Selari dengan komitmen Kerajaan Perpaduan kata Timbalan Perdana Menteri itu lagi, peranan dan fungsi IIM perlu terus diperkukuhkan sesuai dengan keperluan negara.
Artikel asal boleh dibaca di sini (Astro Awani)