Perutusan KPE IIM
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Salam Integriti dan Salam Perpaduan.
Syukur ke hadrat Allah, berkat limpah kurnia dan keizinannya dapat kita bertemu dalam Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022.
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadilah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri mewakili YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim atas kesudian beliau hadir ke Majlis Penyampaian AIGA 2022. Ini sesungguhnya mencerminkan keprihatinan dan komitmen pucuk pimpinan tertinggi negara terhadap pemerkasaan integriti dan tata kelola terbaik di Malaysia.
Tahun 2022 menyaksikan buat julung kalinya IIM memperkenalkan AIGA di peringkat kebangsaan sebagai satu mekanisme untuk mengukur komitmen, usaha serta keberkesanan inisiatif integriti dan tata kelola di dalam organisasi. Pengenalan AIGA adalah sebagai batu asas dan pemangkin terhadap pembudayaan integriti di dalam sektor awam dan swasta.
Pelaksanaan AIGA adalah selaras dengan fungsi utama IIM untuk memperkasakan keupayaan dan kecekapan sektor awam dan swasta bagi membantu merealisasikan objektif menjadikan Malaysia terkenal kerana integritinya dan bukan rasuah. Melalui AIGA, organisasi berpeluang untuk menilai tahap kekuatan dan kelemahan masing-masing khususnya di dalam aspek pengurusan integriti dan tata kelola. Ini seterusnya akan membolehkan organisasi mengambil langkah-langkah penambahbaikan untuk meningkatkan keberkesanan mekanisme pengurusan integriti dan tata kelola masing-masing.
Penutupan Majlis AIGA 2022 juga telah menyaksikan pelancaran AIGA 2023 oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadilah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri. Syabas dan tahniah diucapkan kepada 115 organisasi awam dan swasta yang telah menyertai AIGA 2022. Semoga anugerah yang diterima pada hari ini akan membakar semangat dan menjadi pencetus kepada pewujudan ekosistem pengurusan integriti dan tata kelola baik yang kondusif dan mampan, juga dapat memberikan inspirasi kepada penyertaan pemegang taruh dan anak-anak syarikat yang lain untuk turut menyertai AIGA pada tahun 2023.
Sekian.
وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ والهِدَايَةُ وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
YBHG. DATUK WAN SURAYA BINTI WAN MOHD RADZI
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF